Isnin, 30 Januari 2012

DATUK MUSBAH DAN KEHENDAK RAKYAT







Kejayaan seseorang pemimpin menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat, antara sebabnya ialah, pemimpin itu telah berjaya memenangi hati rakyat. Beliau telah mempunyai ciri-ciri yang selari dengan aspirasi dan kehendak rakyat semasa. Menurut penelitian saya ciri-ciri yang diingini oleh rakyat telah berjaya dimiliki sepenuhnya oleh YB Datuk Musbah sebagai wakil rakyat Tempasuk selama ini.

Datuk Musbah umpama seorang artis yang mempunyai peminatnya tersendiri, dan yang paling menarik dan berbeza dengan pemimpin lain ialah kerana beliau mempunyai penyokong yang amat setia kepada beliau. Ketaatan dan kesetiaan penyokong beliau telah beberapa kali teruji dan tidak pernah mengkhianati perjuangan beliau, misalnya pada tahun 2004 apabila beliau tidak bergelar wakil rakyat kerana tempat beliau telah diberikan kepada Tan Sri Pandikar. Selama hampir lima tahun beliau tidak mempunyai kuasa, penyokong-penyokongnya tidak pernah meninggalkan beliau, malahan pada pemilihan UMNO Bahagian Kota Belud tahun 2004 penyokong-penyokongnya telah membuktikan sokongan mereka apabila memberikan kemenangan kepada beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian dengan mengalahkan Datuk Yahya Lampong tajaan mantan Ketua Bahagian sebelum itu Datuk Salleh Tun Said dengan mejoriti yang amat besar iaitu lebih 200 orang. Waktu itu sokongan rakyat Kota Belud amat kuat terhadap beliau, sehinggakan ada yang berpendapat bahawa andaikatanya Datuk Salleh Tun Said sendiri yang menjadi lawannya dalam pemilihan UMNO tersebut, juga akan menerima kekalahan sebagaimana yang menimpa Datuk Yahya Lampong.

Secara keseluruhannya ramai penganalisis politik mengakui bahawa Datuk Musbah telah berjaya memenangi hati rakyat atas sebab sikapnya amat disukai ramai. Kekerapan beliau menemui rakyat dalam apa juga bentuk keadaan membuatkan wakil rakyat ini amat diminati oleh semua lapisan masyarakat di Kota Belud. Sebab itu saya difahamkan dari sumber-sumber yang tidak resmi pucuk pimpinan UMNO negeri dan pusat akan memilih beliau sebagai calun Parlimen dalam PRU ke 13 nanti. Setakat ini menurut penilian agensi-agensi kerajaan yang membuat pemantuan prestasi pemimpin-pemimpin Kota Belud hanya Datuk Musbah sahaja yang mampu memberi kemenangan kepada UMNO dalam kursi Parlimen di Kota Belud mahupun kursi DUN Tempasuk. Walau bagaimanapun rakyatnya di kawasan Tempasuk juga mahukan khidmat wakil rakyat ini diteruskan dikawasan mereka, malahan ada setengah-setengah kawasan daerah mengundi kawasan Tempasuk, telah mengadakan perhimpunan aman mengesah pucuk pimpinan UMNO mencalunkan semula Datuk Musbah di kawasan Tempasuk.

Kejayaan Datuk Musbah sebagai wakil rakyat kerana didorong oleh sikapnya yang peramah kepada semua penduduk tidak kira wanita, lelaki, tua dan muda. Antara Datuk Musbah dan rakyat tidak ada wujudnya kekangan yang menyebabkan rakyat sukar mendampingi beliau. Dalam keadaan rakyat berhujan kerana mengharungi kehidupan, Datuk Musbah juga mampu berbuat demikian, buktinya apabila hanya menggunakan daun tumbuhan BAGIANG yang selalu digunakan penduduk kampong ketika hujan sebagai payung sewaktu beliau membuat lawatan kerja di kawasan daerah mengundi Rosok suatu ketika. Kalau penduduk kampong duduk bersila ketika makan kerana ketiadaan meja makan, Datuk Musbah juga mampu berbuat demikian, misalnya sewaktu beliau mengadakan lawatan di masjid- masjid sekitar Kota Belud di dalam bulan puasa. Beliau duduk bersila bersama-sama dengan penduduk kampong menjamu selera selepas menunaikan sembahyang isyak dan sunat tarawaih. Inilah sikap Datuk Musbah yang amat disenangi rakyat, beliau diumpamakan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat.

Datuk Musbah yang terkenal dengan kerajinannya turun padang sudah tentu amat mudah di temui dimana-mana sahaja. Setiap kali adanya majlis kahwin dan upacara kematian yang berlangsung di daerah Kota Belud, Datuk Musbah tidak pernah melepaskan peluang menghadirkan diri, kecuali ada urusan penting di Kota Kinabalu dan tidak dapat dielakkan. Beliau tidak juga menumpukan hanya menghadirkan diri di kawasan Tempasuk sahaja, akan tetapi di seluruh Kota Belud. Justeru itu tidak hairanlah Datuk Musbah mempunyai penyokong setia di semua kawasan Kota Belud.

Namun kejayaan Datuk Musbah menempatkan diri dalam lapisan masyarakat Kota Belud dengan begitu baik dicemburi oleh pihak-pihak yang dengki dengan pencapaian pemimpin ini dalam politik. Misalnya dalam penulisan saya sebelum ini yang telah membicarakan soalan kemampuan Datuk Musbah menyaingi malahan menidakkan penguasaan keturunan Arshad dalam politik Kota Belud, telah menyebabkan ada pihak-pihak yang mengkritik penulis blog Dilema Kota Belud ini dengan tomahan yang bermacam-macam. Di dalam Facebook group Arshad banyak membicarakannya kononnya penulis blog ini adalah penulis upahan Datuk Musbah, ingin saya jawap secara sepontan adakah apa yang di tulis oleh Dilema Kota Belud ini tidak benar? Adakah tidak benar selama ini keturunan Arshad yang memanipulasi politik Kota Belud atau tidak benarkah hanya Datuk Musbah saja yang berjaya menyaingi manipulasi politik keturunan Arshad di Kota Belud. Cuba berikan saya pemimpin Kota Belud sehebat Datuk Musbah yang berjaya mencabar penguasaan politik keturunan Arshad di Kota Belud, siapa?. Tan Sri Pandikar yang telah menjadi tawanan mereka kini atau Datuk Abdullah Sibil yang tidak habis berangan-angan mahu dicalunkan di Tempasuk. Penulis Dilema Kota Belud menulis berdasarkan fakta kerana penulis juga adalah antara pelakon politik Kota Belud selama ini, justeru itu apa juga yang di utarakan selama ini adalah berdasarkan fakta yang di ambil dari peristiwa yang telah berlaku dan penulis berada sewaktu peristiwa itu terjadi.

Apa sahaja orang cakap mengenai Dilema Kota Belud, perjuangan ini perlu diteruskan iaitu membicarakan perkara yang nyata supaya menjadi bahan rujukan generasi akan datang, betapa perjuangan memartabatkan anak bangsa Kota Belud yang terdiri dari suku kaum Bajau, Iranun dan Dusun adalah agenda penting dan kini Datuk Musbah adalah peneraju utama perjuangan ini dan akan menjadi ikon kepada pemimpin akan datang sebagai seorang wira golongan miskin di Kota Belud. Seorang kawan membisik kepada saya di Kota Belud pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat hanya Datuk Musbah. Beliau memberi hujah selama tempoh beliau bergelar wakil rakyat Tempasuk, rakyat Tempasuk amat berbangga pencapaiannya membawa pembangunan kepada mereka seperti projek JELAPANG PADI, AGROPOLITAN, AKUAKULTUR, JARINGAN PERHUBUNGAN YANG AMAT BAIK DAN SEBAGAINYA. Ada yang tidak segan-segan lagi mengelarkan Datuk Musbah sebagai BAPA PEMBANGUNAN TEMPASUK. Berbanding pemimpin terdahulu yang telah memegang jawatan seperti Ketua Menteri, Menteri, Sepeakar dan bermacam-macam lagi, tetapi tiada satu pun pembangunan yang boleh dibanggakan sebagai aset kepada penduduk Kota Belud untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Tidak harian jugalah jika ada usaha-usaha yang cuba menafikan kewibawaan kepimpinan Datuk Musbah di kalangan rakyat. Contohnya fitnah dan usaha keroyok mereka sewaktu pemilihan UMNO Kota Belud tahun 2008, mereka yang irihati pencapaian Datuk Musbah dalam membawa demensi perubahan kehidupan dan politik Kota Belud telah bergabung tenaga memastikan Datuk Musbah tersungkur dalam pemilihan tersebut. Datuk Salleh Tun Said dan konco-konconya yang tidak pernah sebulu dengan Tan Sri Pandikar selama ini dalam politik pada waktu itu telah bergabung tenaga menyerang dari seluruh pelosok dengan taburan wang rasuah agar Datuk Musbah kalah dalam pemilihan itu.

Matlamat mereka agar rekod baik dan pencapaian Datuk Musbah dalam politik akan padam terus dalam arus politik Kota Belud. Dengan demikian kelemahan mereka selama ini yang gagal membawa pembangunan kepada daerah Kota Belud tidak diketahui umum. Akhirnya penduduk Kota Belud terus-terusan dalam kemiskinan dan peminta sedekah kepada mereka. Penduduk terpaksa akur kepada mereka kerana serba kekurangan akhirnya keadaan rakyat Kota Belud tidak ubah seperti NEGARA MERDEKA TAPI MEREMPAT DI DAERAH SENDIRI. Bukan itu sahaja, tranformasi politik yang cuba ditonjolkan oleh Datuk Musbah lebih kepada bersifat pasaran terbuka dalam istilah perdagangan. Beliau mahu melahirkan lebih ramai pemimpin politik dan golongan koperat di Kota Belud, supaya nanti mereka ini akan dapat membantu keluarga masing-masing, dengan demikian satu masa mereka boleh berdikari sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pemimpin atau kerajaan. Berbanding dengan dasar yang ditonjolkan oleh pemimpin terdahulu yang mahukan semua rakyat Kota Belud sentiasa dalam kemiskinan dan tidak mempunyai pendidikan yang tinggi seperti mereka. Mereka khuatir jika rakyat nanti punya wang atau mempunyai pendidikan yang tinggi akan menjejaskan peluang mereka menguasai kepimpinan Kota Belud.

Contoh yang mudah, apabila berlaku pemilihan UMNO Kota Belud samada ianya pemilihan AJK UMNO Bahagian atau pemilihan wakil 7, lebih ramai calun-calun dari kawasan Tempasuk yang memenangi pemilihan tersebut berbanding dengan kawasan Usukan.

Dan kini pemimpin ini cuba pula menonjolkan di kalangan keluarganya sebagai calun PRU ke 13 nanti, dengan tujuan legasi kepimpinan mereka akan berterusan sampai bila pun, misalnya di Tempasuk Tan Sri Pandikar berusaha benar mempromosi adiknya Bahi Wata dijadikan calun BN dalam PRU 13 nanti. Bahi Wata yang selama ini tidak pernah menonjolkan diri dalam majlis politik, telah mula berjinak-jinak mendekatkan diri dalam dunia politik, di dalam fecebook bukan main lagi lontaran idea politiknya, seolah-olah dia berpolitik begitu lama.

Apapun rancangan mereka dalam mengekalkan legasi kepimpinan keluarga mereka, rakyat sudah faham dan tidak mungkin diperbodohkan lagi. Jangkaan ramai penganalisis politik, jika pucuk pimpinan pusat menidakkan kehendak rakyat diperingkat akar umbi. Barisan nasional akan berhadapan dengan kekalahan. Lebih-lebih lagi jika pemimpin kesayangan mereka Datuk Musbah dinafikan haknya untuk bertanding dalam PRU ke 13 nanti. Apapun kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku nanti?.

Sabtu, 14 Januari 2012

DATUK SALLEH TUN SAID PERLU RECOMMENDATION DATUK MUSBAH.







Datuk Salleh perlu menawan hati dan perasaan Datuk Musbah untuk membolehkan beliau mendapat kepercayaan pucuk pimpinan Kuala Lumpur dan Negeri Sabah bagi dicalunkan semula sebagai wakil rakyat akan datang dalam PRU ke 13 ini. Perbuatan silam beliau terhadap Datuk Seri Panglima Musa Aman Ketua Menteri Sabah dan Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia sudah cukup bagi kedua-dua pemimpin ini bagi menilai siapa Datuk Salleh Tun Said dalam dunia politik Negara.

Sebenarnya Datuk Salleh telah masuk perangkap yang dibuatnya sendiri apabila beliau mengambil keputusan mendekatkan diri dengan Datuk Seri Panglima Musa Aman. Rekodnya melaga-lagakan Datuk Safie Afdal dan Ketua Menteri ini suatu ketika tak begitu mudah dilupakan olehnya. Datuk Musa Aman sebenarnya menyedari fungsi USBO ditubuhkan suatu ketika di Sabah semata-mata untuk memberi tekanan kepada beliau dan seolah-olah kepimpinannya di Sabah tidak diterima oleh rakyat Sabah. Dengan demikian pentadbiran Kuala Lumpur akan bertindak menukarnya dari jawatan Ketua Menteri Sabah. Semua ini masih segar dalam memori Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Di Kota Belud Datuk Musbah merupakan orang harapan Ketua Menteri memantau tindak tanduk Datuk Salleh, samada ianya benar-benar ikhlas memberi sokongan kepadanya atau hanya sekadar bermain politik dalam usahanya mendapat tempat dalam PRU ke 13 nanti. Justeru itu Datuk Salleh kena menunjukkan sikap yang benar-benar ikhlas memberi sokongan kepada Datuk Musa Aman serta pandai mengambil hati Datuk Musbah, jika beliau ingin mendapat kepercayaan yang jitu dari Datuk Seri Panglima Musa Aman selaku Ketua perhubungan UMNO negeri Sabah untuk bertanding dalam PRU ke 13 nanti. Datuk Musbah yang telah lama bersama dengan Datuk Musa Aman dan orang yang paling bertanggungjawab mempertahan Datuk Musa Aman di Kota Belud sudah tentu akan menjadi bahan rujukan beliau dalam menentukan keikhlasan Datuk Salleh Tun Said terhadap beliau.

Demikian juga jika Datuk Salleh Tun Said ingin mengambil hati pucuk pimpinan pusat khususnya YAB Datuk Seri Najib dan Timbalannya Datuk Seri Muhyiddin Yassin beliau juga kena mendapat recommendation atau sokongan yang padu daripada Datuk Musbah kerana kedua-dua pemimpin ini amat rapat dengan beliau. Misalnya Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu bertanding dalam jawatan Naib Presiden UMNO suatu ketika dulu, orang yang bertanggunjawab mencalunkannya di Kota Belud ialah Datuk Musbah sewaktu beliau memegang Timbalan Ketua UMNO Kota Belud. Namun kerana permainan politik licik Datuk Salleh Tun Said yang ketika itu memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud telah menukarkan melalui mandat yang diberikan oleh AJK UMNO Bahagian Kota Belud dengan orang lain, sedang dalam mesyuarat AJK UMNO Kota Belud di Palas Hotel telah mengambil ketetapan mencalunkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia ketika itu. Orang-orang Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menanti keputusan mesyuarat UMNO Kota Belud di dewan Chung Hwa Kota Belud pulang dengan nada kecewa kerana tidak mendapat mencalunan daripada Kota belud. Dan di Kota belud orang yang paling kecewa juga ialah Datuk Musbah kerana beliau telah di tipu oleh Datuk Salleh dalam isu pencalunan ini. Apakah isu seperti ini mudah dilupakan oleh Datuk Datuk Seri Najib dalam menilai kepimpinan Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, jawapannya sudah tentu tidak! Dan hanya Datuk Musbah sahaja yang dapat membersihkan nama Datuk Salleh Tun Said daripada pandangan Datuk Seri Najib kerana beliau merupakan orang kuat kepada Perdana Menteri suatu ketika sehingga hari ini.

Siapa yang tidak tahu hubungan rapat antara Datuk Musbah dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia kini Tan Sri Muhyiddin Yassin. TPM ini telah beberapa kali datang bertandang di rumah Datuk Musbah di KingFisher Kota Kinabalu sewaktu beliau memegang jawatan Ketua UMNO Kota Belud. Orang nombor dua Negara ini juga pernah dilukai oleh Datuk Salleh Tun Said apabila beliau tidak dicalunkan oleh Datuk Salleh Tun Said dalam pemilihan Majlis Tertinggi tahun 2008 lalu sewaktu beliau ditentang oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam jawatan Timbalan Presiden UMNO. Demikian jugalah jika Datuk Salleh ingin mendapat recommendation daripada Timbalan Perdana Menteri ini beliau kena memohon maaf kepada Datuk Musbah atas keterlajurannya mempermainkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana akhirnya Datuk Musbah akan menjadi rujukan Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang kelayakanya menjadi calun dalam PRU ke 13 nanti.

Inilah natjiahnya kepada orang yang pernah melakukan kesalahan kepada orang lain perlu menunjukkan dulu keikhlasan dan kejujurannya kepada mereka sebelum mereka mendapat balik kepercayaan daripadanya. Dalam isu ini di Kota Belud Datuk Salleh Tun Said kenalah pandai menambat hati Datuk Musbah bagi membolehkan beliau diyakini oleh pucuk pimpinan parti tidak mengkhianati perjuangan parti. Rekod terdahulu akan menjadi sandaran kepada mereka dalam memilih calun Barisan Nasional nanti. Mereka sudah tentu tidak menginginkan calun yang akan memberi lelibiti kepada parti yang hanya akan memperdagangkan jawatannya sebagai wakil rakyat kepada parti lawan.

Selasa, 10 Januari 2012

Kelibat Politik Datuk Musbah Digeruni Pihak Lawan.








Prinsip politik yang diamalkan oleh Datuk Musbah sejak menceburkan diri dalam dunia politik amat digeruni oleh pihak lawan, beliau diumpamakan perjalanan seekor kura-kura yang tidak pandai jemu-jemu berjalan, meksipun beliau tahu tidak sepantas seekor kijang atau secepat libasan seekor buaya di dalam sungai. Namun berkat kesabaran dan ketekuanannya berjalan membuatkan sesekor kijang yang angkuh tewas di tangannya. Inilah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada kesabaran dan ketekunan Datuk Musbah dalam mengharungi liku-liku dunia politik.

Bermula dari seorang peniaga Kilang Papan, beliau telah berjaya meletakkan dirinya dipersada persaingan dunia perniagaan setanding dengan golongan cina yang sememangnya jauh lebih maju dalam dunia perniagaan. Percapaian yang cemerlang inilah membuatkan diri beliau amat disegani dikalangan pemimpin politik pada masa itu.


Pada pilihanraya negeri Sabah tabun 1990, beliau telah mendapat kepercayaan daripada bapa kemerdekaan Negeri Sabah arwah Tun Datu Mustapah Datu Harun bertanding atas tiket parti USNO di N6 Tempasuk. Namun dalam percubaan pertamanya ini beliau gagal di tangan Calun Kerajaan PBS yang memerintah negeri Sabah Waktu itu. Namun beliau hanya kalah tipis di tangan calun kerajaan PBS.

Diperingkat awal lagi penglibatannya dalam politik, beliau telah mempamerkan persembahan politik yang berbeza dengan pemimpin di Kota Belud. Kemesraan dan keakraban kepada semua lapisan masyarakat merupakan darah dagingnya sepanjang masa, boleh begitu muda mesra kepada semua orang. Tanpa rasa bangga diri beliau meletakkan dirinya setarap dengan semua orang, ramai yang seangkatan dengannya gugur ditengah jalan, samada ianya kerana permainan politik pihak lawan atau kecundang atas sebab tamak dan rakus sehingga ianya lupa bahawa semuanya itu permainan politik pihak lawan.

Jika dilihat secara keseluruhannya politik Kota Belud dari awal lagi ianya dimanipulasi oleh keturuanan bangsa banjar. Ketika zaman USNO di awal kemerdekaan dulu keturunan Banjar ini telah menguasai kepimpinan Kota Belud. Nama-nama seperti Arshad tidak asing lagi kepada kita waktu itu. Setelah kemangkatanya, kuasanya ini diturunkan kepada anak-anaknya seperti Hasbullah dan seterusnya kepada adiknya OKK Anuar dan terkini Datuk Golkhan Hasbollah. Dalam Politik pula iq ya dimanipulasi pula oleo menantu mereka iaitu Tun Said Keruak dan iparnya Datuk Askar Hasbollah. Ketika zaman kerajaan berjaya pula legasi ini dipertanggungjawabkan kepada Datuk Mohd Noor Mansor untuk meneruskan kelangsungkan pemerintahan keluarga Banjar di Kota Belud. Apabila kerajaan PBS memerintah negeri Sabah penguasaan kepimpinan keluarga banjar ini terus bertakta di singahsana, kali ini anak kepada Tun Said Keruak pula mengambil alih iaitu Datuk Salleh Tun Said dan sehingga zaman UMNO keluarga ini masih memanipulasi kepimpinan politik Kota Belud.

Namun sejak tahun 2004 kepimpinan politik Kota Belud telah mencatat sejarah apabila seorang anak tempatan peduduk Kota Belud yang berketurunan Bajau dan Iranun laitu Datuk Musbah telah mencipta nama sipersada politik Kota Belud apabila berjaya mengambil ahli jawatan Ketua UMNO Kota Belud dari penguasaan keluarga Banjar ini. Bermula dari itu juga Datuk Musbah merupakan pesaing kepada keluarga banjar ini. Dalam semua Pemimpin yang ada di Kota Belud, hanya Datuk Musbah saja yang berjaya mencabar kekuatan legasi kepimpinan keluarga Banjar di Kota Belud. Tan Sri Pandikar yang terkenal dengan keberaniannya dalam dunia Politik sekalipun telah menyerah diri kepada Datuk Salleh Tun Said, apabila beliau sekarang ini telah berketuakannya.

Justeru itu masyarakat Kota Belud masih bernasib baik apabila Datuk Musbah masih berjuang mempertahankan prinsip perjuangannya sehingga hari ini, meksipun di asak dari pelbagai sudut oleh keluarga Banjar dan mereka yang termakan hasutan mereka, namun beliau masih bertahan sehingga hari ini. Bayangkan andaikata Datuk Musbah berhenti dari dunia politik, siapa lagi anak tempatan Kota Belud yang boleh menyaingi kelibat politik Datuk Salleh Tun Said. Bolehkah Pemimpin seperti Datuk Abdullah Sibil, Serin Haji Sudah, Jenar Lambah dan ramai lagi yang melibatkan diri dalam dunia politik memberi saingan kepada kebijakkan politik Datuk Salleh Tun Said, sudah tentu tidak kerana mereka semua ini pernah dipermainkan olehnya satu ketika dulu. Sebagai penduduk tempatan Kota Belud mengharapkan agar Datuk Musbah diberi kesihatan dan hidayah untuk terus berjuang sehingga ke akhir hayat demi untuk masa depan anak-anak kita akan datang.