Isnin, 23 Mei 2011

DATUK MUSBAH MELAKAR SEJARAH TERSENDIRI


Kejayaan Datuk Musbah dalam dunia politik dan dunia perniagaan menjadikan beliau melakar sejarah tersendiri yang tidak dapat disaingi oleh mereka yang berkecimpung dalam bidang ini khususnya di daerah Kota Belud. Bermula dari seorang anak kampong yang hidup dalam serba kekurangan Datuk Musbah telah bangkit dari satu tangga kejayaan ke satu tangga kejayaan seterusnya.

Sebelum berkecimpung dalam dunia Politik, beliau merupakan anak bumiputera Kota Belud yang telah berjaya dalam bidang perniagaan. Pada waktu itu dunia perniagaan di monopoli oleh masyarakat cina sahaja. Kilauan mutiara yang terkandung dalam jiwa Datuk Musbah telah terserla apabila waktu itu beliau merupakan satu-satunya anak bajau yang berjaya membuka sebuah kilang papan di Kg. Taun Gusi Kota Belud. Perniagaan kilang papannya ini telah banyak membantu pemimpin-pemimpin politik waktu itu khususnya dalam melaksanakan projek-projek kecil. Inilah sejarah hidup Datuk Musbah yang berlainan dengan tokoh-tokoh yang ada di Kota Belud. Kejayaan dunia perniagaan yang dibinanya sendiri dan bukannya diwarisi dari keluarganya sepertimana Datuk Salleh Tun Said yang bulat-bulat mewarisi harta dan perniagaan ayahandanya.

Kejayaan Datuk Musbah membina empayar perniagaan pada masa itu membuatkannya sangat dikenali bukan sahaja oleh masyarakat Kota Belud akan tetapi pemimpin-pemimpin agong seperti Tun Mustapah. Beliaulah yang bertanggungjawab membawa Datuk Musbah ke dunia politik, apabila dalam satu pilihanraya negeri Sabah di bawah era kerajaan PBS beliau telah dipilih sebagai calun USNO di kawasan Tempasuk. Meksipun menerima kekalahan,waktu itu, yang pastinya Datuk Musbah telah melangkah masuk ke dunia politik. Dalam dunia politik juga Datuk Musbah banyak mencipta sejarah tersendiri berbanding dengan tokoh-tokoh lain yang ada di Kota Belud seperti Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dan DSP Salleh Tun Said yang masing-masing mewarisi kepimpinan mereka daripada ayahanda masing-masing.

Datuk Musbah tidak mewarisi kepimpinan daripada ayahandanya, tetapi sebaliknya beliaulah sendiri yang mencorak dan mewarnai kepimpinan politiknya sendiri. Dengan gaya politik yang amat konsisten dengan mengambilkira politik kejujuran dan keikhlasan membuatkan beliau amat popular di kalangan masyarakat Kota Belud. Sepanjang perjalanan politik beliau banyak onak dan duri yang ditempuhinya, namun jiwa kental yang amat menebal dalam diri beliau menambahkan lagi kekuatan dalam dirinya untuk terus berjuang membela masyarakatnya yang dahagakan pembangunan. Kekalahan, jawatan dan imbuhan dalam perjuangan tidak menjadi keutamaan dalam perjuangannya, akan tetapi sebaliknya beliau menghitung pencapaiannya sejauhmana perjuangan yang didokongnya selama ini telah dapat membela masyarakatnya.

Sebab itu tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa pemimpin yang paling banyak membawa pembangunan di kawasan Tempasuk atau Kota Belud ialah Datuk Musbah. Dengan hanya sekadar jawatan Pembantu Menteri beliau telah berjaya membawa berbilion-bilion ringgit projek yang kesemuanya menjurus kepada peningkatan sosio ekonomi rakyat Kota Belud. Jika kita bandingkan dengan pemimpin terdahulu, mereka telah berjaya menempatkan diri sebagai pemimpin nombor satu dalam negeri Sabah, tetapi jika dihitung mereka tidak dapat menyaingi pencapaian Datuk Musbah dalam menyediakan kemudahan atau pembangunan kepada masyarakat Kota Belud.